Myspace Layouts

Thursday, March 18, 2010

Red Bull masih boleh berbangga




LONDON - Ketua Red Bull, Christian Horner tetap berpuas hati dengan pencapaian pasukannya pada perlumbaan pembuka musim Grand Prix (GP) Bahrain, Ahad lalu.

Meskipun gagal untuk meraih kejayaan podium, namun Horner berkata, kejayaan Sebastian Vettel (gambar) menduduki tempat keempat sudah cukup melegakan.

Pemandu muda Jerman itu hampir pasti menjadi juara sebelum mengalami masalah teknikal pada pusingan ke-33, sekali gus meranapkan impiannya untuk meraih kejuaran pertama musim ini.

"Kami berjaya mencatat keputusan yang agak baik di Bahrain dan Vettel mengawal perlumbaan sehingga pusingan ke-33 apabila dia secara tiba- tiba mengalami masalah pada jentera," kata Horner.

"Meskipun kurang bernasib baik, namun jentera P4 masih berpotensi untuk menjadi juara.

"Memang benar kami sedikit kecewa tetapi kami akan pastikan bahawa kami akan terus memberi saingan lebih sengit pada perlumbaan seterusnya."

Horner juga percaya, Vettel merupakan pemandu terbaik di Bahrain meskipun pemandu Ferrari, Fernando Alonso muncul juara manakala rakan sepasukannya, Felipe Massa di tempat kedua.

"Pada pendapat saya, memang Vettel adalah yang terbaik. Dia mampu melaku- kan sesuatu yang luar biasa terutama di selekoh. Dia juga kurang melakukan kesilapan," tambah Horner.

Sementara itu, seorang lagi pemandu Red Bull, Mark Webber berharap cuaca yang tidak menentu di Melbourne mampu menjadikan GP Australia musim ini lebih menarik.

Sebelum ini, Webber menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap GP Bahrain, Ahad lalu yang dianggap membosankan.

"Bahrain memiliki litar yang menarik tetapi kita semua dihidangkan dengan perlumbaan yang membosankan," kata Webber.

"Saya harap akan ada kejutan di Melbourne. Kita semua tahu cuaca di sana boleh berubah dalam sekelip mata dan sudah tentu banyak perkara yang harus dilakukan dengan secepat mungkin."

Webber juga percaya, masih terlalu awal untuk meramalkan pasukan Ferrari sebagai juara dunia musim ini meskipun pasukan dari Itali itu mendominasi perlumbaan di Bahrain lalu. - Agensi

No comments:

Post a Comment