Myspace Layouts

Saturday, January 23, 2010

Gempar bayi lahir kepala dua



ANUGRAH Arya Suprianta yang mempunyai kepala kedua di perutnya seperti disiarkan stesen televisyen SCTV.


PENDUDUK di Nibung Putih, Muarasabak Barat, Tanjung Jabung Timur dekat sini gempar apabila seorang wanita tempatan, Irawati melahirkan seorang bayi lelaki berkepala dua pada Selasa lalu, lapor akhbar tempatan semalam.

Anak pertama wanita yang berusia 25 tahun itu selamat dilahirkan di rumahnya dengan berat 3.2 kilogram sebelum dibawa ke Hospital Nurdin Hamzah dan kemudian dirujuk ke Hospital Daerah Raden Mattaher di sini kelmarin.

Bayi yang diberi nama Anugrah Arya Suprianta memiliki kepala kedua di perutnya.

Kata bapanya, Abdul Kassim, 29, seorang petani, pada mulanya bayi itu disangka sebagai anak kembar kerana tidak menunjukkan sebarang tanda aneh sepanjang pemeriksaan sebelum dilahirkan.

"Tidak ada gambaran bahawa anak kami akan memiliki kepala dua namun, kami tabah dengan keadaan ini kerana dia adalah amanah Allah," katanya.

Pasukan polis kini diletakkan di rumah pasangan itu bagi mengawal orang ramai yang teruja mahu melihat bayi tersebut. Pada 26 Disember lalu, satu bayi berkepala dua juga dilahirkan di Garut, Jawa Barat tetapi meninggal dunia beberapa jam kemudian.

Thursday, January 21, 2010

Wanita rakam gambar hantu di kubur



GAMBAR rakaman English yang disiarkan di beberapa blog dan akhbar Daily Telegraph semalam menunjukkan dua imej kanak-kanak (dalam bulatan) sedang berjalan di tanah
perkuburan St. Mark, selatan Sydney.


SYDNEY - Seorang wanita, Renee English merakamkan gambar yang menunjukkan dua imej kanak-kanak sedang berjalan di sebuah tanah perkuburan St. Mark di selatan Sydney, Australia, lapor akhbar Daily Telegraph semalam.

Semasa dia merakamkan gambar itu, tiada kanak-kanak yang melintasi tanah perkuburan tersebut.

Imej itu kini menjadi perdebatan hangat sama ada mereka ialah kanak-kanak yang meninggal dunia 60 tahun lalu.

Menurut legenda tempatan, dua kanak-kanak itu ialah David Shaw dan Blanche Moon.

Mereka meninggal dunia pada 1886 selepas tergelincir dan ditimpa timbunan kayu.

Menurut English, dia yakin semasa sedang merakamkan gambar di tanah perkuburan itu, tidak ada orang yang berada di kawasan tersebut.

"Apabila memuat naik gambar kami (dia dan keluarganya), melihat kanak-kanak itu. Semua bulu roma saya kemudian berdiri dan saya berasa seram sejuk.

"Saya tidak dapat tidur dan saya tidak akan melihat filem seram lagi," katanya.

Gambar itu kini menjadi perbincangan hangat di beberapa laman blog mengenai hantu di Internet.