
LONDON - Pemandu McLaren, Lewis Hamilton menarik balik kritikan yang dibuat terhadap pasukannya sendiri pada perlumbaan Grand Prix (GP) Australia, Ahad lalu.
Terdahulu, Hamilton yang juga juara dunia 2008, melahirkan rasa tidak puas hati terhadap keputusan McLaren yang dianggap menjadi punca dia gagal menaiki podium di Litar Albert Park.
Hamilton berada pada kedudukan yang selesa untuk menamatkan saingan di tempat kedua sebelum diminta memasuki pit buat kali kedua bagi menukar tayar.
Lebih malang, Hamilton terlibat dengan dengan kemalangan bersama pemandu Red Bull Racing, Mark Webber dua pusingan sebelum perlumbaan tamat dan hanya berjaya menamatkan saingan di tempat keenam.
Namun, selepas mendapat penjelasan daripada pasukannya, Hamilton mengakui sudah boleh menerima keputusan tersebut.
"Pasukan saya telah menjelaskan secara terperinci kenapa mereka meminta saya memasuki pit buat kali kedua dan kini saya faham mengapa keputusan tersebut perlu dibuat," kata Hamilton.
"Kami semua masih belajar mengenai penggunaan tayar untuk musim ini dan pengalaman ini akan membantu kami untuk lebih bersedia pada baki perlumbaan musim 2010."
Sementara itu, Hamilton juga menjelaskan yang dia tetap menjalin hubungan baik dengan rakan sepasukan, Jenson Button yang muncul juara di Melbourne hanya pada penampilan keduanya bersama McLaren.
"Sebaik sahaja Button menamatkan sidang akhbar, saya bertemu untuk mengucapkan tahniah kepadanya," kata Hamilton.
"Dia memang berhak untuk menang kerana dia langsung tidak melakukan sebarang kesilapan di Melbourne.
"Sudah tentu saya ingin menang pada setiap perlumbaa tetapi jika saya tidak berjaya, saya ingin kemenangan tersebut menjadi milik rakan sepasukan berbanding pemandu lain." - Reuters



No comments:
Post a Comment