Myspace Layouts

Sunday, October 31, 2010

Kapal persiaran nyaris rempuh jambatan


KAPAL Allure of the Seas nyaris merempuh sebuah jambatan di Pulau Fuenen, Denmark kelmarin.


PULAU FUENEN, Denmark - Sebuah kapal persiaran yang dikenali sebagai The Allure of the Seas bernilai AS$1.6 bilion (RM4.97 bilion) sebesar empat padang bola sepak nyaris mengenai jambatan Store Belt di sini kelmarin.

Jambatan yang menghubungkan Pulau Fuenen dan Zealand di Denmark itu cuma 30 sentimeter lebih tinggi daripada kapal yang melalui di bawahnya selepas ia belayar keluar dari sebuah limbungan di Turku, barat Finland.

Kapal itu sepanjang 361 meter dan lebar 66 meter kapal itu boleh membawa 6,360 penumpang dan anak kapal seramai 2,100 dari 65 buah negara.

Ia dijangka tiba di Pelabuhan Lauderdale, Florida, Amerika Syarikat dalam tempoh beberapa minggu lagi.

Kapal itu mempunyai kemudahan spa, dewan menari setinggi dua dek, pawagam 1,380 kerusi, beberapa buah kolam, gimnasium, bar, restoran, kafe dan pusat beli-belah yang dihiasi dengan barisan pokok.

Pelayaran sulungnya akan bermula lewat tahun ini.

Pemuda bakal kahwin janda 15 anak



GAMBAR menunjukkan Craig Le-Sauvage berdiri di sebelah tunangnya, Joanne Watson (tengah) dan anak-anaknya.


LONDON - Seorang pemuda, Craig Le­Sauvage berusia 34 tahun melamar bekas jirannya, Joanne Watson berusia 39 tahun yang sudah mempunyai 15 anak, lapor sebuah akhbar semalam.

Pemuda itu melamar Joanne pada awal bulan ini setelah dia berjumpa dengan wanita tersebut yang mengunjungi tempat bekerjanya di sebuah pusat bersantai.

Pemuda itu melamar wanita tersebut selepas dia mendapatinya masih cantik walaupun 15 tahun setelah mereka tidak lagi tinggal berjiran.

Sebelum ini Joanne telah berpisah dengan suaminya, John selepas mereka mendirikan rumah tangga selama 22 tahun.

Le-Sauvage mendedahkan dia turut gementar untuk menjadi bapa tiri kepada 15 anak Joanne yang berumur antara 22 tahun hingga 22 bulan.

Pemuda itu berkata, dia melamar wanita tersebut selepas dia memberitahu dirinya hamil tiga minggu selepas mereka keluar temu janji dan berkenalan dengan lebih mesra.

Justeru, Le-Sauvage bakal menjadi bapa kepada 16 anak apabila bakal isterinya melahirkan seorang lagi anaknya pada tahun depan. - Agensi

Merapi hambur awan debu 46 minit



GUNUNG MERAPI yang mengeluarkan awan debu dapat dilihat dari Cangkringan, Yogyakarta semalam.


GUNUNG MERAPI, Pulau Jawa - Gunung Merapi menghamburkan awan debu semalam selama 46 minit sekali gus menyebabkan ribuan penduduk di sekitarnya panik.

Sebelum ini ribuan penduduk tersebut mengambil peluang pulang ke kampung halaman selepas bermalam di pusat perlindungan sementara selepas gunung itu tidak lagi meletus.

Letusan terbaru itu berlaku semasa ratusan anggota penyelamat tiba untuk menghantar bekalan makanan dan memindahkan mangsa-mangsa yang cedera akibat tsumani di Kepulauan Mentawai di perairan Sumatera semalam.

Tsunami itu berlaku pada minggu lalu akibat kejadian gempa bumi bawah laut sekuat 7.7 pada skala Richter.

Bilangan mangsa yang terbunuh dalam letusan Gunung Merapi dan tsunami itu hampir mencapai 500 orang semalam.

Siren dibunyikan manakala terdapat beberapa orang terjun ke dalam sungai bagi menyelamatkan diri semasa Gunung Merapi mengeluarkan awan debu.

Menurut seorang pegawai bencana tempatan, Rusdiyanto, sebahagian orang lagi melarikan diri dengan menggunakan kereta dan trak.

Gunung Merapi itu telah membunuh 38 orang.

Walaupun amaran telah dikeluarkan, ribuan daripada lebih 53,000 orang yang dipindahkan dari zon bahaya bertindak kembali semula ke kampung di sekitar gunung itu semalam untuk melihat haiwan ternakan.

"Ladang saya musnah akibat serpihan gunung itu dan debu tebal. Apa yang tinggal kini ialah beberapa ekor lembu dan kambing," kata seorang mangsa, Subarkah.

Menurutnya, dia perlu membawa rumput untuk memberi makan haiwan ternakannya itu bagai mengelakkan ia mati.

Sejak Gunung Merapi itu meletus pada Selasa lalu, para pegawai berusaha untuk mengelakkan penduduk kampung berada dekat dengan gunung tersebut.

Lebih 2,000 askar dikerah untuk memaksa penduduk meninggalkan kawasan dekat dengan gunung itu kelmarin.

Menurut seorang pegawai dari sebuah agensi pemantau gunung berapi, Subandrio, sejak Sabtu lalu, Gunung Merapi itu telah menghamburkan 63 letusan lahar dan sembilan gas.


GAMBAR yang disiarkan semalam menunjukkan satu kawasan yang musnah akibat tsunami di Kepulauan Mentawai, di perairan Sumatera.


"Trend itu menunjukkan bahawa aktiviti gunung berapi itu semakin meningkat," katanya.

Jurucakap Kementerian Pengangkutan, Bambang Ervan berkata, lapangan terbang di Solo, 40 kilometer ke timur Merapi terpaksa ditutup semalam selama sejam ekoran debu gunung itu jatuh seperti hujan.

Syarikat penerbangan Garuda turut menjadualkan semula penerbangan dari Yogyakarta kerana bimbang debu Gunung Merapi akan merosakkan enjin pesawat, kata jurucakap syarikat tersebut, Pujobroto.

Sementara itu, seorang pegawai Agensi Pengurusan Bencana Kebangsaan, Nelis Zuliastri berkata, jumlah kematian akibat tsunami di Kepulauan Mentawai meningkat kepada 449 orang ekoran penemuan berpuluh-puluh mayat.

Seorang lagi pegawai bencana, Ade Edward berkata, sebuah pesawat C-130, enam buah helikopter dan empat bot panjang membawa bekalan makanan dan kemanusiaan semalam kepada mangsa-mangsa tsunami.

Menurutnya, antara mangsa tsunami yang dipindahkan ialah seorang bayi yang baru dilahirkan dan seorang budak perempuan berumur 12 tahun yang menghidap kecederaan di dada. - AP

Tuesday, October 26, 2010

Bila pesakit tidak dilindungi insurans



KOS rawatan penyakit kronik dapat dikurangkan jika pesakit membeli polisi insurans khusus untuk tujuan itu.


POLISI insurans kesihatan bukan untuk dibeli oleh individu yang sedang menghidap penyakit kritikal seperti sakit jantung dan strok.

Sebaliknya hanya orang yang sihat boleh mengambilnya dengan andaian mereka mungkin mendapat penyakit itu pada masa akan datang.

“Kos rawatan untuk penyakit kritikal adalah tinggi. Jika tiba-tiba seseorang itu disahkan menghidapnya, polisi insurans kesihatan yang ada boleh membantu mengurangkan beban kewangan pesakit,” kata ejen insurans American International Assurance Berhad (AIA), Anis Nuriman.

Bagaimanapun, perlindungan perubatan tidak diberikan kepada mereka yang disahkan menghidap penyakit kritikal sebelum satu-satu polisi insurans kesihatan itu dibeli.

Hakikat ini diakui kebanyakan syarikat insurans.

“Pelanggan tidak dihalang sepenuhnya daripada membeli polisi insurans perubatan. Namun, polisi yang ditawarkan untuk pesakit kronik itu melibatkan bayaran premium yang tinggi.

“Ia sudah tentu membebankan pelanggan sedangkan polisi itu tetap tidak meliputi perlindungan terhadap penyakit kritikal yang sedia dihidapi.

“Jadi pada kebanyakan masa, pesakit kanser atau kencing manis tidak membeli polisi itu,” dedah Anis.

Ejen insurans Prudential BSN Takaful Berhad, Rosli Ahmad, pula menambah penghidap penyakit kritikal hanya dapat ditawarkan polisi insurans hayat atau kemalangan.

“Jika mereka mahu membeli insurans perubatan juga, polisi yang ditawarkan akan mengecualikan penyakit kritikal sedia ada atau penyakit kritikal lain yang terjadi disebabkan penyakit kritikal tadi.


MEREKA yang mempunyai ukur lilit paha 60 sentimeter ke atas kurang berisiko mendapat penyakit.


Kanser

“Memang malang bagi mereka kerana tidak dilindungi insurans untuk penyakit yang dihidapi tetapi itulah konsep insurans kesihatan,” ujarnya.

Presiden Pertubuhan Kebajikan Kanser Payu Dara (BCWA) Malaysia, Ranjit Kaur, merasakan amalan polisi insurans tersebut satu diskriminasi.

“Kami (pesakit kanser) masih hidup dan sepatutnya boleh membelinya. Malah, ramai penghidap kanser lebih sihat berbanding mereka yang tidak menghidap penyakit kritikal.

“Keadaan ini tidak wajar berlaku. Perlindungan insurans kesihatan harus diberikan kepada mereka yang memerlukan,” tegas Ranjit.

Merujuk statistik kanser di Malaysia, kata Ranjit, setiap seorang daripada empat orang berkemungkinan diserang kanser setiap tahun.

“Adakah mereka mengatakan tidak kepada 25 peratus rakyat Malaysia hanya kerana kami ada kanser?” tanya Ranjit.

Tambah beliau, faktor itu jugalah yang membuatkan penghidap kanser berasa amat takut sebaik sahaja disahkan menghidap penyakit itu.

“Sudahlah kami terpaksa berdepan dengan penyakit kritikal, kami juga mesti memikirkan cara untuk mendapatkan wang bagi menanggung kos perubatan,” bidas Ranjit yang menyifatkan itulah salah satu punca pesakit kanser payu dara gagal diselamatkan.


SESETENGAH syarikat insurans mewajibkan pemegang polisi


Menurut Ranjit, ada juga antara penghidap kanser payu dara yang ditamatkan polisi insuransnya setelah disahkan menghidap penyakit itu.

“Selepas membayar kos perubatan pertama untuk kanser yang dihidapi, syarikat insurans tersebut bertindak menamatkan polisi yang selama ini dibayar wanita tersebut.

“Macam mana boleh jadi begini? Jika benar wanita itu tersalah membeli polisi, sepatutnya dia didedahkan tentang polisi yang tepat untuk keperluannya,” ujar Ranjit.

Keadaan berbeza adalah di Washington, Amerika Syarikat. Sebuah pelan insurans untuk penghidap penyakit kritikal sedia ada sudah diwujudkan oleh kerajaan negeri sejak Mac 2010.

Tujuannya ialah untuk memberi peluang kepada penghidap penyakit kritikal mendapatkan perlindungan kesihatan sekurang-kurangnya sehingga tahun 2014 iaitu sebelum sektor kesihatan tempatan diubah sepenuhnya.

Tindakan itu dilihat sebagai satu perubahan yang baik untuk sektor kesihatan dalam usaha mengurangkan bilangan rakyat Amerika yang sakit.

Sotong peramal Piala Dunia mati



GAMBAR fail menunjukkan Paul membuka tudung sebuah kotak plastik yang mengandungi kupang dan lambang bendera Jerman semasa membuat ramalan perlawanan Piala Dunia antara Jerman dengan England di akuarium Sea LIfe di bandar Oberhausen, Jerman pada 25 Jun lalu.


FRANKFURT - Seekor sotong kurita, Paul di Jerman yang menyebabkan para peminat bola sepak di seluruh dunia terpegun kerana ketepatannya meramalkan beberapa keputusan bola sepak Piala Dunia 2010 mati semasa berumur dua setengah tahun semalam.

Menurut seorang jurucakap akuarium Sea Life yang menempatkan haiwan tersebut, Ariane Vieregge, sotong yang pernah meramalkan Sepanyol sebagai juara Piala Dunia 2010 di Afrika Selatan itu mati di dalam akuariumnya di bandar Oberhausen, barat Jerman pada waktu pagi.

Sotong itu kelihatan baik apabila diperiksa lewat kelmarin.

Namun, kata jurucakap itu, Paul gagal untuk meneruskan hidup dan ia mati akibat semula jadi.

"Kami semua mula menyayanginya dan akan merasai kehilangannya," kata pengurus akuarium itu, Stefan Porwoll dalam satu kenyataan.

Setakat ini, pihak pengurusan Sea Life masih belum memutuskan cara untuk memperingati penghuni yang paling terkenal dalam akuarium berkenaan.

Sotong itu pernah mendapat ancaman bunuh kerana ia meramalkan Argentina kalah kepada Jerman pada pusingan kedua kejohanan Piala Dunia 2010.

"Kami mungkin memutuskan untuk menyediakan kubur kecil buat Paul dalam pekarangan akuarium kami dan mendirikan satu 'makam' sederhana yang kekal," kata pengurus tersebut.

Sotong itu menjadi selebriti semasa kejohanan bola sepak Piala Dunia 2010 berlangsung pada Jun dan Julai lalu di Afrika Selatan.

Paul bersara daripada membuat ramalan selepas perlawanan menentukan juara Piala Dunia antara skuad bola sepak Sepanyol dengan Belanda.

Selepas perlawanan itu berakhir, sotong itu kembali dengan peranan asal dengan membuatkan kanak-kanak gembira apabila melihat gelagatnya di dalam akuarium.

Paul mendapat perhatian ramai apabila ia berjaya meramalkan dengan tepat tujuh perlawanan melibatkan skuad bola sepak Jerman dalam kejohanan Piala Dunia itu.

Sotong itu memulakan ramalannya dengan membuka penutup salah satu daripada dua kotak plastik yang mengandungi kupang dan bendera skuad yang berentap dalam pertandingan.

Antara ramalan yang dibuat oleh Paul ialah kemenangan Jerman ke atas pasukan Argentina dan kekalahan Jerman ke atas Serbia.

Sotong itu turut meramalkan kemenangan Jerman ke atas England dan kekalahan Jerman ke atas Sepanyol pada peringkat separuh akhir.

Selepas kemahiran meramalnya itu didedahkan, Paul telah dilantik menjadi duta mewakili England yang cuba menjadi tuan rumah kejohanan bola sepak Piala Dunia pada 2018.

Sotong itu dilahirkan di akuarium Weymouth Sea Life Centre, England pada 2008.

Kebolehan meramalkan itu kemudian menjadi ilham pemilik beberapa haiwan lain yang cuba membuktikan ia setanding dengan Paul.

Antara haiwan lain yang mengikut jejak langkah Paul ialah burung bayan di Singapura dan burung kakak tua Lorenzo di Hannover, Jerman. - Agensi

113 maut, 502 hilang disapu tsunami di Sumatera



BEBERAPA penduduk melarikan diri ke tempat yang lebih tinggi selepas gegaran gempa bumi kuat dirasai di Padang, Indonesia kelmarin.


JAKARTA - Kira-kira 113 orang maut dan ratusan lagi termasuk sekumpulan peluncur ombak Australia hilang kelmarin setelah ombak besar tsunami yang dicetuskan satu gempa bumi kuat melanda Kepulauan Mentawai di perairan Sumatera dengan memusnahkan perkampungan dan rumah.

Ketua Pusat Krisis Kementerian Kesihatan Indonesia, Mujiarto berkata, menurut maklumat terkini seramai 113 ornag terbunuh.

Menurut Pertubuhan Palang Merah Indonesia, bilangan mereka yang masih hilang ialah 502 orang.

Agensi Kaji Selidik Geologi Amerika Syarikat (AS) menyatakan, gempa bumi kuat berukuran 7.7 pada skala Richter menggegarkan Kepulauan Mentawai, barat pulau Sumatera pada pukul 9.42 malam kelmarin waktu tempatan.

Gempa itu berpusat pada kedalaman 20.6 kilometer, 280 kilometer ke selatan bandar Padang.

Beberapa pegawai berkata, bencana itu mencetuskan tsunami setinggi tiga meter yang menghanyutkan 10 buah kampung.

Sekumpulan pelancong Australia melaporkan bahawa bot mereka yang dinaiki 15 orang musnah dipukul ombak yang kelihatan seperti tembok air menghempas sebuah teluk selepas gempa bumi bawah laut itu berlaku.

Sebahagian mereka terpaksa berpaut pada pokok-pokok untuk terus hidup.

Agensi Kaji Selidik Geologi AS menyatakan, gempa bumi itu berlaku pada pukul 9.42 malam (waktu tempatan) pada kedalaman 20.6 kilometer, dan berpusat 280 kilometer ke selatan bandar Padang.

Mudjiharto berkata, tsunami di Mentawai melanda sejauh 600 meter ke darat di Pulau Pagai Selatan, lokasi paling teruk terjejas.

Sementara itu, seorang warga Australia, Rick Hallet menyatakan, dia bersama 15 yang lain melihat seolah-olah satu tembok air bergerak ke arah botnya yang dinaiki mereka di sebuah teluk di kepulauan Mentawai.

"Kami mendengar bunyi ngauman yang amat kuat," kata Hallet yang menguruskan perniagaan sewa bot di Sumatera.

"Saya terus melihat ke laut dan kami melihat tembok air itu menuju ke arah kami. Tsunami itu melambungkan sebuah bot ke arah kami dan bot kami meletup akibat rempuhan," tambahnya.

Kumpulan itu termasuk sembilan warga Australia itu kemudian bertindak pantas dengan terjun ke dalam air ketika bot mereka meletup.

Beberapa orang daripada mereka dihanyutkan sejauh 200 meter ke darat.- Agensi

Thursday, October 21, 2010

Darah tinggi penyakit seumur hidup




HIPERTENSI ataupun darah tinggi merupakan salah satu penyakit utama yang sering dihidapi penduduk negara ini. Walaupun bahaya penyakit ini banyak didedahkan, begitu juga cara-cara untuk mencegahnya namun bilangan penghidapnya tidak menampakkan tanda-tanda penurunan.

Ini kerana ketiadaan simptom ketara yang dapat mengaitkan seseorang dengan penyakit ini.

Pakar Kardiologi dan Pengarah Klinikal Perkhidmatan Kecemasan Jantung, Institut Jantung Negara (IJN), Datuk Dr. Azhari Rosman menegaskan, punca tekanan darah tinggi membabitkan 95 peratus pesakit masih tidak diketahui.

“Malah, ada individu yang tidak mengetahui mereka menghidap darah tinggi selama bertahun-tahun tanpa sedikit pun menunjukkan simptom,” katanya.

Ujarnya lagi, penyakit ini tidak akan hilang. Dalam kebanyakan kes, ia merupakan penyakit seumur hidup.

Akibatnya, penghidap darah tinggi perlu bergantung kepada ubat-ubatan sepanjang hayat bagi mengawal tekanan darah mereka.

Secara amnya, darah tinggi merujuk pada tekanan darah yang meningkat lebih tinggi daripada tahap biasa secara kronik.

Pesakit yang mempunyai tiga bacaan tekanan darah yang melebihi 140/90mmHg dalam keadaan rehat berpotensi positif mendapat penyakit tersebut.

“Darah tinggi memang tiada sebarang gejala. Namun, jika tidak dibendung daripada awal, seseorang boleh terkena serangan atau kegagalan jantung, strok dan kerosakan buah pinggang,” katanya.


PERUBATAN alternatif akupuntur dipercayai dapat memulihkan penyakit darah tinggi.
PENGHIDAP darah tinggi perlu bergantung pada ubat-ubatan sepanjang hayat bagi mengawal tekanan darah mereka.


Satu daripada dua

Mengikut satu kajian pada tahun 2006, satu daripada tiga rakyat negara ini yang berumur 30 tahun ke atas menghidap darah tinggi.

“Saya berpendapat angka ini telah meningkat dan melebihi 50 peratus rakyat Malaysia menghidapnya.

“Dahulu penghidapnya berusia 30 tahun ke atas, kini ia tidak mengira peringkat umur.

“Mereka yang berada di bawah umur tersebut juga berisiko. Malah kanak-kanak turut terdedah kepada penyakit ini kerana faktor pemakanan dan obesiti,” ujarnya.

Tambah Azhari, ada pesakit hanya mengetahui mereka mempunyai darah tinggi setelah mereka diserang strok.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Mohd. Ismail Merican berkata, risiko komplikasi darah tinggi boleh dielakkan jika seseorang berdisiplin dengan mengambil makanan berkhasiat.

“Kawalan diet terutama pengambilan garam selain rejim senaman bagi mengekalkan berat badan ideal juga perlu bagi penghidap darah tinggi,” katanya.

Berbicara mengenai rawatan darah tinggi melalui medium perubatan alternatif, pengamal perubatan alternatif, Nik Omar Nik Daud berkata, penyakit itu memerlukan rawatan secara holistik selain mengurangkan pengambilan ubat-ubatan yang bersumberkan dadah.


FATIMAH ARSHAD


“Dari sudut homeopati, keadaan pesakit darah tinggi termasuk simptom yang mereka alami akan dinilai terlebih dahulu.

“Selepas didiagnosis, mereka akan diberikan ubat-ubatan yang bersumberkan alam semula jadi seperti garam galian,” katanya.

Ujarnya lagi, garam galian berbeza daripada garam yang terdapat dalam makanan yang menjadi punca darah tinggi.

Katanya, garam galian lebih selamat dan bersumberkan sulfur, magnesium dan kapur.

“Ia selamat dan boleh membantu mengurangkan tekanan darah seseorang,” katanya.

Akupuntur

Tambah beliau, kebiasaannya pesakit darah tinggi memerlukan masa selama tiga bulan untuk pulih sepenuhnya. “Namun, mereka juga mesti mengambil makanan yang sihat dan banyak bersenam,” katanya.

Ujar Nik Omar lagi, rawatan akupuntur dan bekam turut membantu memulihkan tekanan darah tinggi.

“Rawatan akupuntur memberi tumpuan pada bahagian kaki dan tangan yang merupakan kawasan berkaitan saluran darah.

“Ini untuk memastikan pengaliran darah sempurna dan stabil selain mengaktifkan sel-sel darah yang terjejas,” katanya.


RAWATAN sering menjadi alternatif dalam mengurangkan penyakit darah tinggi.


Bagi rawatan bekam pula, Nik Omar berpendapat amalan itu mempunyai manfaat yang cukup banyak kerana dapat mengeluarkan toksik daripada darah.

“Ia juga dapat membuang darah kotor dalam badan. Jika diamalkan mengikut nasihat pengamal perubatan tradisional terlatih, tekanan darah tinggi boleh menjadi normal semula.

Bagi pakar pemakanan, Dr. Fatimah Arshad menjelaskan, penghidap darah tinggi perlu mengurangkan pengambilan garam dalam makanan.

“Kurangkan makanan berlemak dan banyak makan sayur-sayuran serta buah-buahan segar. Jangan makan buah betik yang dibuat rojak. Kicap mengandungi garam yang tinggi.

“Kurangkan penggunaan belacan untuk masakan, begitu juga ikan dan telur masin. Makanan segera pula harus dielakkan,” katanya.

Komputer riba Apple paling nipis



GAMBAR menunjukkan satu model komputer MacBook Air.


CUPERTINO, California - Syarikat komputer Apple Inc. memperkenalkan dua komputer riba MacBook Air yang nipis kelmarin.

Salah satu komputer riba itu mempunyai skrin seluas 33.8 sentimeter (sm) manakala yang kedua mempunyai skrin 29.4sm.

Komputer MacBook yang lebih besar itu senipis 1.73 sentimeter dan seberat 1.3 kilogram (kg) manakala baterinya tahan selama tujuh jam.

Satu lagi model komputer riba itu seberat 2.2kg dan baterinya tahan selama lima jam.

Ketua Pegawai Eksekutif Apple, Steve Jobs berkata semasa melancarkan: "Kami bertanya kepada diri sendiri, apa akan berlaku jika MacBook dan iPad digabungkan? Maka inilah hasilnya."

iPad ialah komputer tablet keluaran Apple.


GAMBAR menunjukkan dua model komputer MacBook Air yang nipis di Cupertino, California kelmarin.


Komputer MacBook Air tidak boleh membaca cakera padat (CD) atau cakera padat digital (DVD).

Ia hanya menggunakan memori flash seperti iPhone.

Komputer Macbook Air dijual pada harga bermula AS$999 (RM3,103) dengan storan memori 64 gigabit.

Pada harga AS$1,199 (RM3,725) ia dilengkapi dengan memori 128 gigabit.

Komputer Macbook yang lebih besar ditawarkan pada harga AS$1,299 (RM4,035) dengan kapasiti 128 gigabit atau $1,599 (RM4,968) bersama storan 256 gigabit. - Agensi