Myspace Layouts

Tuesday, February 23, 2010

Nenek lawan 3 penyamun

KUALA LUMPUR: Niatnya ingin menghalang tiga perompak yang cuba melarikan tiga kereta mewahnya bernilai RM1.2 juta, namun seorang wanita warga emas sebaliknya terpaksa lari lintang-pukang apabila dia dikejar penjenayah terbabit yang bersenjatakan parang.

SASARAN...polis menjalankan siasatan terhadap  banglo  yang menjadi sasaran tiga perompak, pagi semalam.
SASARAN...polis menjalankan siasatan terhadap banglo yang menjadi sasaran tiga perompak, pagi semalam.
Dalam kejadian jam 4 pagi semalam, mangsa yang berusia 70-an terlihat kelibat tiga lelaki yang menceroboh rumahnya di Lorong Hujan, Taman OUG di sini sebelum suspek cuba melarikan tiga kereta mewah miliknya.


Sumber polis berkata, mangsa terus meluru keluar sebelum cuba menghalang tiga penjenayah terbabit melarikan keretanya.


Menurutnya, suspek yang menyedari kemunculan pemilik rumah terbabit terus mengeluarkan parang sebelum mengejar mangsa.


“Tindakan penjenayah menghunuskan parang itu menyebabkan pemilik rumah terbabit tergamam dan kecut perut sebelum berpatah semula masuk ke dalam rumah. Mangsa yang menutup pintu bagi mengelak penjenayah mencederakannya,” katanya.


Menurutnya, penjenayah sengaja merosakkan alat kawalan pada pintu pagar utama rumah mangsa bagi membolehkan tiga kereta mewah itu dipandu keluar.

Difahamkan, sebelum kejadian, kumpulan penjenayah warga tempatan terbabit terlebih dulu merayau-rayau di kawasan berkenaan sejak jam 3 pagi dipercayai untuk mengesan lokasi kediaman yang bakal dijadikan sasaran.


“Selepas yakin dengan sasaran, suspek memecah masuk untuk melarikan kereta mewah mangsa. Bagaimanapun, mereka terkejut apabila alat penggera yang dipasang di rumah mangsa tiba-tiba berbunyi,” katanya.


Menurutnya, mangsa segera turun ke tingkat bawah banglonya untuk mematikan sistem penggera berkenaan sebelum mendengar enjin kereta dihidupkan.


“Mangsa yang mulanya menyangka anak lelakinya sedang memandu untuk keluar rumah bagaimanapun terkejut apabila mendapati tiga lelaki tidak dikenali dengan menutup muka dalam kenderaan itu.


“Semua suspek memakai topeng mencegah wabak H1NI bagi memastikan identiti mereka tidak dapat dicam mangsa. Pemilik rumah yang cuba mencegah mangsa bagaimanapun dikejar sebelum masuk semula ke dalam rumah bagi mencari perlindungan,” katanya.


Menurutnya, mangsa segera memaklumkan kejadian itu kepada anaknya, namun penjenayah sudah melarikan diri.


“Bagaimanapun, kejadian terbabit dirakam melalui kamera litar tertutup (CCTV) yang dipasang di hadapan rumah terbabit,” katanya.


Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan jenayah Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah yang mengesahkan kejadian berkenaan berkata, polis sedang mengesan penjenayah dan tiga kereta mewah model Mercedes Benz, BMW dan Honda Accord milik mangsa.


“Siasatan terperinci akan dilakukan terhadap rakaman CCTV diperoleh bagi mengenal pasti identiti sebenar suspek terbabit,” katanya.

Caca akur tersingkir Raja Lawak


DARI kiri: Juri yang terdiri daripada Bob Lokman, Din Beramboi dan Afdlin Shauki tidak jemu menyuntik idea terhadap persembahan para peserta.


SELEPAS tujuh minggu gelanggang Raja Lawak dipentaskan, kemahiran para peserta yang terdiri daripada Idlan, Kumpulan Kecik, Mamu, Alex serta Caca tampak meningkat positif. Lawak yang dibikin sudah terlihat sedikit asli dan tidak mengecewakan.

Malah penyingkiran Abdul Halim Abdul Malek atau lebih dikenali sebagai Caca pada minggu lalu, biarpun sudah dijangka ramai kerana sering menjadi mangsa undian terendah juga adalah sebuah penyingkiran bermaruah.

Sekurang-kurangnya, selepas tujuh minggu, lelaki berusia 31 tahun dan berasal dari Kedah ini sudah mengutip banyak pengalaman yang mampu dibawa pulang jika dia ingin meneruskan karier lawaknya kelak.

Apabila pengumuman penyingkiran dibuat, Caca malah kelihatan seperti sudah bersedia apabila bangun dengan membawa bungkusan kain naik ke pentas.

Peserta yang merupakan seorang juruteknik di Inokom Corporation itu mendapat 3.6 peratus undi pada minggu ke tujuh sebelum terkeluar.

Caca berkata dia rela dan bersedia untuk terkeluar minggu tersebut kerana ingin memberi laluan kepada rakan-rakan lain untuk meneruskan perjuangan menjadi Raja Lawak.

“Kalau nak diikutkan siapa yang tak nak jadi Raja Lawak? Tetapi saya fikir biarlah orang yang berhak dan layak menjadi Raja Lawak.

“Saya pun tahu di mana kemampuan diri dan merasakan sudah sampai masanya saya keluar kerana peserta-peserta lain lebih berbakat,” ujarnya tenang selepas penyingkiran pada malam dengan tema Retro Hitam Putih itu.

Kata Caca, dia tidak pernah putus asa sepanjang tujuh minggu dalam program tersebut walaupun sentiasa berada di tiga tangga paling bawah sejak minggu pertama.

“Biarpun terkeluar pada minggu ini, saya tidak pernah menyesal masuk Raja Lawak kerana dapat pelbagai pengalaman berharga dalam industri ini.


CACA memberi pose terakhir selepas perjuangannya menjadi Raja Lawak tamat pada minggu ke tujuh.


“Saya agak kecewa dengan persembahan pada malam ini dan seperti sudah dapat rasa yang akan terkeluar,” katanya yang bercadang untuk pulang ke kampung dalam masa terdekat ini.

Tambah Caca, dia juga sebelum ini ada berpesan kepada penyokongnya dalam Facebook agar mengundi dirinya sebab bakat.

“Selain penyokong, isteri saya banyak memberi semangat dan dorongan sepanjang saya di sini. Isteri juga selalu memberi komen dan kritikan tentang persembahan saya,” kata bapa kepada tiga anak itu.

Sementara itu, juri tetap Raja Lawak, Afdlin Shauki, Din Beramboi dan Bob Lokman mengaku tema pada minggu itu adalah yang paling sukar berbanding yang lain.

Menurut Afdlin, retro merupakan subjek yang paling sukar buat para peserta.

“Peserta perlu bijak menyesuaikan persembahan mereka dengan tema agar tidak lari daripada konsep asal. Masa yang diberikan pada kali ini juga agak panjang berbanding sebelum ini iaitu tiga setengah minit. Mungkin itu menjadi punca ada antara mereka seperti hilang fokus dalam persembahan,” katanya.

Bagi Bob Lokman, empat orang peserta Raja Lawak yang tinggal sekarang mempunyai bakat yang agak besar. Mungkin kita akan ada persembahan yang agak sengit pada minggu kelapan nanti.

“Semua mereka yang tinggal adalah yang berbakat dan menunjukkan prestasi yang baik pada setiap minggu,” katanya.

Tiga peserta yang mendapat peratusan tertinggi pada minggu ke-7 ialah Idlan (32.5 peratus), Mamu (24.2 peratus) dan kumpulan Kecik (23.5 peratus).

Tangguh saman kerana Seniman


Fahrin


KUALA LUMPUR - Jika sebelum ini pelakon kacak, Fahrin Ahmad begitu beria-ia mahu mengheret bekas kekasihnya, Linda Onn ke mahkamah ekoran isu perbalahan mereka, semalam beliau sudah berubah fikiran.

Fahrin kini berhasrat mahu menyelesaikan isu itu di luar mahkamah selepas mendengar pandangan Presiden Persatuan Seniman Malaysia (Seniman), Harun Salim Bachik.

"Saya dan wakil Seniman (Salim) sudah bertemu dua minggu lalu dan mereka bersedia menjadi orang tengah.

"Saya terima cadangan mereka untuk selesaikan di luar mahkamah dengan hati terbuka,'' kata Fahrin ketika ditemui di sini semalam.

Imam tuntut ganti rugi RM5j


MOHAMAD Afandi bersama peguamnya, Yusmawati Ab. IIah (kiri) dan Nur Azlin @ Azliana Arifin di Mahkamah Tinggi, Jalan Duta, Kuala Lumpur semalam.


KUALA LUMPUR - Ketua Imam 1 Masjid Al-Ikhlasiah, Kampung Kerinchi di sini semalam memfailkan saman menuntut ganti rugi RM5 juta daripada Persatuan Penduduk Taman Desa Kerinchi dan pengerusi persatuan itu atas dakwaan memfitnah dirinya sebagai individu yang telah menyalahgunakan kuasa serta orang yang bermasalah dalam kariah tersebut.

Mohamad Afandi Che Harun, 33, memfailkan writ saman itu di Kaunter Pendaftar Mahkamah Tinggi Sivil di sini pada 3 petang menerusi firma Tetuan Yusma Azlin & Co.

Giant George disahkan anjing tertinggi dunia


ANJING tertinggi dunia bergambar bersama pemiliknya, David Nasser di Tucson, Amerika Syarikat.


TUCSON - Pihak Guinness World Records mengumumkan seekor anjing baka Great Dane di Amerika Syarikat (AS) sebagai anjing paling tinggi di dunia kerana ketinggian yang diukur dari kaki hingga ke bahunya mencecah 1.09 meter.

Anjing yang diberi nama Giant George itu tinggi dua sentimeter berbanding pesaing rapatnya, Titan yang juga daripada baka Great Dane dari San Diego.

Beberapa pegawai Guinness menyatakan wujud laporan yang bercanggah berkaitan ketinggian George menyebabkan mereka menghantar seorang juri untuk mengesahkannya.

Anjing seberat 115 kilogram yang berusia empat tahun itu dimiliki oleh David Nasser. - AP

Cinta Hamilton-Nicole berputik semula


GAMBAR fail menunjukkan Hamilton dan Nicole di Sepanyol pada Mei tahun lalu.


LOS ANGELES - Pelumba dan bekas juara dunia Formula Satu (F1) dari Britain, Lewis Hamilton dan pasangannya, penyanyi utama kumpulan Pussycat Dolls, Nicole Scherzinger kembali menjadi pasangan selepas mereka mengumumkan perpisahan secara rasmi, lapor sebuah akhbar semalam.

Hamilton dilihat begitu mesra di samping Nicole semasa mereka membeli-belah di Hollwood baru-baru ini.

Penyanyi itu mendedahkan bahawa mereka kini merancang untuk berkahwin.

Nicole, 31, yang tidak henti-henti ketawa kecil ditanya oleh seorang pembantu kedai adakah dia sedang mencari pakaian. Dia menjawab: "Gaun perkahwinan saya tahun ini."

Pendedahan itu dibuat selepas pasangan tersebut secara rasmi mengumumkan perpisahan pada tahun lalu kerana mereka tidak dapat meluangkan banyak masa bersama. Hamilton, 25, menyalahkan komitmen perlumbaannya telah menyebabkan hubungan yang berlangsung selama 20 bulan bersama Nicole menjadi hambar.

Namun begitu, seorang teman rapat mengesahkan: "Mereka mengambil satu keputusan sukar dan kedua-duanya kemudian menyesal kerana memutuskan hubungan tidak lama selepas itu." - Agensi

1Pelajar 1Sukan


PELAJAR sekolah diwajibkan menyertai satu acara sukan bermula tahun hadapan.


SATU pelajar, satu sukan untuk 1Malaysia.Ia wajib bagi setiap pelajar di seluruh negara bermula tahun hadapan.

Arahan baru ini antara strategi yang bakal dilaksanakan Kementerian Pelajaran (KPM) dalam usaha melahirkan warga yang berjaya dalam akademik dan sukan.

Potensi yang ada pada setiap pelajar itu akan dipergunakan sepenuhnya ke arah membentuk mereka menjadi seorang atlet atau pelajar yang cemerlang dan berwibawa.

KPM di dalam kenyataannya semalam yang difakskan kepada Kosmo! meminta semua Jabatan Pelajaran Negeri (JPN), Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) dan sekolah supaya membuat persiapan rapi berkaitan pembangunan sukan di sekolah-sekolah dengan menjadualkan program sukan sepanjang tahun dalam membuka ruang untuk setiap pelajar menyertai pelbagai jenis sukan di sekolah.

Kenyataan itu juga menjelaskan bahawa KPM juga telah menubuhkan sebuah Jawatankuasa Pembangunan Sukan di sekolah yang mana ahli-ahlinya terdiri daripada wakil pelbagai pihak yang berkepentingan dalam sukan di negara ini.

Menteri Pelajaran sendiri akan merancang, melaksana dan memantau program pembangunan sukan di setiap sekolah di seluruh negara.

Beberapa strategi telah dikenal pasti dalam melaksanakan program ini.

Perinciannya pula akan dilakukan apabila data dan maklumat berkaitan sudah diperoleh daripada sekolah-sekolah bagi menentukan supaya strategi yang dikenal pasti menepati sasaran yang dikehendaki.

Oleh itu, pengetua, PPD dan JPN wajib mengambil tindakan sewajarnya bagi memastikan pelaksanaan dasar ini sejajar dengan hasrat melaksanakan konsep 1Malaysia serta mengembalikan kegemilangan sukan di sekolah.

Sebelum ini, Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin kecewa kerana agenda sukan sudah semakin dipinggirkan di semua sekolah diseluruh negara.

Beliau juga menegur peranan Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia (MSSM) yang semakin ‘longlai’ menggerakkan aktiviti mereka.

Bagi menentukan MSSM kembali berfungsi seperti beberapa tahun dulu, Muhyiddin mengumumkan peruntukan berjumlah RM89 juta kepada MSSM bagi membolehkan mereka merangka strategi baru untuk memartabatkan sukan pada peringkat sekolah dan seterusnya negara.

Gurun AS simpan pesawat AS$118.73b


PESAWAT-PESAWAT B-52s diletakkan di Pangkalan Tentera Udara Davis-Monthan, Tucson.


TUCSON - Sebuah kawasan gurun seluas 1,052 hektar di Pangkalan Tentera Udara Davis-Monthan, Tucson di Amerika Syarikat (AS) dijadikan tempat menyimpan 4,200 pesawat lama termasuk jet pejuang bernilai AS$35 bilion (AS$118.73 bilion), lapor sebuah akhbar semalam.

Ia dijadikan alat ganti untuk pesawat yang kini digunakan Tentera Udara AS.

Enjin, peluru, pendawaian elektrik dan elektronik pesawat lama itu dikitar semula untuk membantu mengurangkan kos penyelenggaraan pesawat-pesawat tentera masa kini.

Pada 2005, kakitangan di pusat itu mengitar semula lebih 19,000 komponen pesawat-pesawat tersebut yang bernilai AS$568 juta (RM1.92 bilion).

Gurun itu merupakan tempat paling sesuai untuk menyimpan barang besi kerana kelembapan yang rendah dan hujan menyebabkan badan pesawat tidak dipenuhi karat.

Pihak tentera menggunakan kawasan gurun itu sebagai tempat simpanan pesawat sejak 60 tahun lalu.

Kawasan gurun yang unik itu pernah dijadikan lokasi penggambaran filem Transformers. - Agensi

Imej hantu budak dirakam


GAMBAR yang dirakamkan oleh Fores menunjukkan imej seorang budak lelaki (dalam bulatan)di Sekolah Rendah Alaby, Hull Britain.


HULL, England - Seorang pekerja pembinaan, John Fores, 47, terkejut apabila dia mendapati gambar yang dirakamkan menerusi telefon bimbitnya memaparkan imej hantu seorang budak lelaki, lapor sebuah akhbar semalam.

Dia mendakwa, imej itu dirakamkan di bangunan Sekolah Rendah Anlaby dekat sini di East Yorkshire yang diruntuhkan untuk tujuan pembinaan semula.

Namun, semasa Fores melihat kembali gambar yang telah dirakamkan itu, dia ternampak bayang kanak-kanak lelaki dianggarkan berusia lapan tahun dan memakai topi gelap sedang berdiri memandang ke arah kamera telefon bimbitnya.

"Saya mengambil beberapa gambar selepas waktu tengah hari dan pada waktu itu saya tidak menyedari apa-apa yang aneh.

"Namun, semasa melihat foto tersebut di komputer, saya terpandang imej itu dan bulu roma saya meremang," katanya.

Penjaga sekolah tersebut, Gordon Bradshaw, 54, berkata, bangunan sekolah yang dibina pada 1936 itu mempunyai reputasi sebagai berhantu.

"Saya sudah berada di sini sejak 29 tahun lalu dan ramai budak yang mendakwa mereka pernah ternampak satu lembaga hantu di sekolah ini tetapi saya pula tidak pernah melihatnya," kata Bradshaw. - Agensi

Fardu ain di Smart Reader Kids

Smart Reader Kids bukan sahaja mementingkan pengajian dalam bahasa Inggeris, kanak-kanak juga diterap dengan nilai agama dan bahasa ibunda masing-masing.


KANAK-KANAK di Smart Reader Kids diberi peluang meneroka daya imaginasi mereka.


JIKA inginkan anak fasih berbahasa Inggeris, di minda ibu bapa di Malaysia tentunya Smart Reader Kids. Di pusat perkembangan kanak-kanak itu, bahasa Inggeris adalah bahasa komunikasi utama dan mementingkan pembelajaran melalui keseronokan.

Kanak-kanak diberi peluang untuk meneroka daya imaginasi dengan sepenuhnya melalui konsep baru yang inovatif yang direka khas.

Namun, ramai ibu bapa beranggapan jika menghantar anak-anak mereka ke pusat perkembangan kanak-kanak seperti ini akan mengakibatkan mereka tidak memahami bahasa ibunda dan kurang asas agama.

Menyedari kepentingan jurus tersebut, Smart Reader Kids mengambil inisiatif menawarkan program-program seperti kelas bahasa Melayu, bahasa Mandarin dan juga fardu ain.


WANG KIM HA


"Berdasarkan permintaan, kami ada menyediakan kelas fardu ain yang akan dikendalikan oleh guru agama untuk mengajar sekali seminggu.

"Kelas ini adalah berdasarkan permintaan daripada ibu bapa dan bayaran tambahan akan dikenakan kerana perlu membayar upah guru tersebut," kata Pengarah Eksekutif Smart Reader, Dr. Wang Kim Ha.

Kelas bahasa Mandarin pula adalah percuma kerana ia termaktub dalam silibus Smart Reader Kids. Namun, penyertaannya tidak diwajibkan dan mengikut permintaan ibu bapa.

Menurut Kim Ha, ada cawangan pusat itu yang menjalankan program sepenuhnya dalam bahasa Mandarin sebagai persediaan untuk memasuki sekolah aliran Cina. Program tersebut dinamakan Smart Mandarin.

Antara silibus yang terdapat dalam program Smart Reader Kids adalah bahasa Inggeris, bahasa Melayu, Smart Maths, Sains, kebersihan diri, pendidikan moral, kerja kreatif, komputer, muzik dan program memasak.

Program-program tersebut direka secara teliti dan setiap daripadanya mengutamakan keseronokan dalam pembelajaran supaya kanak-kanak tidak bosan dengan apa yang dipersembahkan.

Anak-anak boleh dihantar seawal usia 15 bulan hingga enam tahun. Terdapat dua program iaitu Smart Reader Kids dan Smart Reader Kids Junior.


KANAK-KANAK di Smart Reader Kids berpeluang belajar dengan silibus yang berbeza-beza dan penuh keseronokan.


"Tidak ada istilah kanak-kanak akan bosan kerana berada dalam tadika selama empat tahun jika mereka dihantar seawal usia tiga tahun.

"Silibus yang disediakan direka dengan penuh keseronokan dan mereka tidak akan belajar perkara yang sama berulang-ulang," katanya.

Tambahnya, setiap guru di Smart Reader Kids akan diberi kursus secara berterusan supaya kualiti pengajaran mereka sesuai dengan perkembangan semasa kanak-kanak.

Tambah Kim Ha, cara pengajaran tidak boleh statik pada satu peringkat kerana minat kanak-kanak tidak sama mengikut peredaran masa.

Smart Reader Kids bukan sahaja mereka merangka silibus sendiri, malah lagu-lagu yang digunakan dalam pembelajaran juga adalah hasil nukilan Kim Ha.

"Kami bukan sahaja membuka sebuah pusat perkembangan kanak-kanak dengan mengajar mereka huruf a, b, c atau menyanyikan lagi Ba Ba Black Sheep atau Twinkle, Twinkle Little Star.

"Saya mahu melalui nyanyian juga kanak-kanak ini diterap dengan nilai-nilai murni mengikut budaya tempatan," katanya. - JULIA ISMAIL

Monday, February 22, 2010

Lingkaran awan ganjil di Mexico


LINGKARAN seperti kawah terbentuk di langit Mexico.


BANDAR RAYA MEXICO - Satu lingkaran awan ganjil yang dilihat seperti kawah muncul di langit Mexico sekali gus mencetuskan spekulasi bahawa makhluk asing yang menyebabkan fenomena itu berlaku.

Menurut sebuah akhbar semalam, fenomena itu merupakan yang kedua dilihat selepas satu lingkaran awan ganjil ditemui di langit Moscow, Rusia pada Oktober tahun lalu.

Beberapa pihak percaya fenomena itu berlaku semasa objek terbang tidak dikenali (UFO) memasuki atau keluar dari atmosfera bumi.

Imej itu mirip adegan dalam filem Independence Day pada 1996.

Lingkaran ganjil itu dirakamkan di Mexico pada 11 Februari lalu berdasarkan maklumat di laman web YouTube.

Satu mesej di laman itu menjelaskan ia merupakan imej mengagumkan dan mungkin sebuah UFO sedang memasuki atau meninggalkan bumi.

Ia dianggap sebagai misteri oleh pakar UFO, Nick Pope yang menghabiskan masa melakukan siasatan berhubung fenomena ganjil untuk Kementerian Pertahanan Britain.

"Fenomena itu ganjil. Ia sama seperti yang terdapat di Rusia. Satu kemungkinan ialah ia mungkin satu meteorit atau bola api bergerak melalui awan," katanya. - Agensi

Tuesday, February 16, 2010

40 orang terkaya di Malaysia

KUALA LUMPUR, 16 Feb: Majalah Malaysian Business menamakan Adik Perdana Menteri, Datuk Seri Nazir Razak (Gambar) sebagai antara orang Melayu yang terkaya di Malaysia melalui senarai 40 orang terkaya di Malaysia.

Orang Melayu terkaya di Malaysia adalah Tan Sri Syed Mokhtar Albukhary (Yayasan Albukhary) yang memiliki harta sebanyak RM6.01 bilion, kedua adalah Tan Sri Azman Hashim (Arab Malaysian).

Turut tersenarai adalah anak-anak Allahyarham Tan Sri Shamsuddin iaitu pemilik syarikat Sapura Holding iaitu Datuk Shahril Shamsuddin dan Shahriman Shamsuddin.

Anak bekas Perdana Menteri, Datuk Mokhzani Mahathir turut termasuk dalam senarai 20 orang terkaya di Malaysia.

Sehingga 15 Januari lalu, Mokhzani dari Kencana Petroleum, disenaraikan dengan kekayaan sebanyak RM1.075 bilion untuk menduduki tangga ke-20 orang terkaya di Malaysia.

Malaysian Busines mendedahkan senarai 40 orang terkaya di Malaysia melalui kajiselidik yang dibuat oleh majalah perniagaan itu.

Orang terkaya di Malaysia, menurut majalah itu adalah Raja Gula iaitu Tan Sri Robert Kuok yang dinyatakan memiliki harta sejumlah RM42.76 bilion meningkat RM16.1 bilion daripada RM26.6 bilion, setahun lalu.

Berikut adalah 40 orang terkaya di Malaysia menurut Malaysian Business.

1. Robert Kuok $10 billion (Kuok Empire, Shangri La, Wilmer International etc)

2. Ananda Krishnan $7.2 billion (Maxis, Astro)

3. Lee Shin Cheng $5.5 billion (IOI Group)

4. Teh Hong Piow $3.5 billion (Public Bank)

5. Lee Kim Hua & family $3.4 billion (Genting Berhad, widow of late Lim Goh Tong)

6. Quek Leng Chan $2.4 billion (Hong Leong Group, Guoco Group)

7. Yeoh Tiong Lay & family $2.1 billion (YTL Corp)

8. Syed Mokhtar AlBukhary $1.8 billion (MMC, Johor Port, Malakoff)

9. Vincent Tan $1.3 billion (Berjaya Group)

10. Tiong Hiew King $1.1 billion (Rimbunan Hijau)

11. Azman Hashim $700 million (AmCorp Group, formerly Arab-Malaysia)

12. William H. J. Cheng $660 million (Lion Group, Parkson)

13. Lee Swee Eng $495 million (KNM Group)

14. Ong Beng Seng $470 million (Hotel Properties Ltd, Natsteel)

15. Lim Kok Thay $345 million (son of late Lim Goh Tong, Genting Berhad)

16. Vinod Sekhar $320 million (Petra Group, known for its Green Rubber Global)

17. Lee Oi Hian $300 million (Kuala Lumpur Kepong or KLK)

18. Yaw Teck Seng $295 million (Samling Group)

19. Anthony Fernandes $290 million (AirAsia, Tune Hotels)

20. Mokhzani Mahathir $285 million (Kencana, authorized Porsche importer son of former permier Mahathir)

21. Kamarudin Meranun $280 million (AirAsia, Tune Hotels, Tony Fernandess lover *grin*)

22. Jeffrey Cheah $275 million (Sunway Group)

23. Lee Hau Hian $250 million (Batu Kawan, KLK, brother of Lee Oi Hian)

24. Chong Chook Yew $245 million (Selangor Properties, widow son is MD now)

25. Yaw Chee Ming $240 million (Samling Group, son of Yaw Teck Seng)

26. G. Gnanalingam $230 million (Westports Malaysia)

27. Lim Wee Chai $200 million (Top Glove, worlds largest rubber gloves manafacturer)

28. Kua Sian Kooi $195 million (Kurnia Asia, insurance)

29. Lau Cho Kun $185 million (Malaysian Mosaic)

30. Abdul Hamed Sepawi $180 million (Ta Ann, timber conglomerate)

31. David Law Tien Seng $165 million (Australian iron ore MidWest, T.S. Law Holdings)

32. Tiah Thee Kian $163 million (TA Enterprise)

33. Liew Kee Sin $160 million (SP Setia)

34. Ahmayuddin bin Ahmad $155 million (Westports Malaysia)

35. Eleena Azlan Shah $150 million (Gamuda largest individual shareholder)

36. Lin Yun Ling $145 million (Gamuda founder and MD)

37. Ong Leong Huat $130 million (OSk Group)

38. Lim Thian Kiat $115 million (former head of Multi-Purpose)

39. Khoo Kay Peng $110 million (MUI, U.K. retailer Laura Ashley)

40. Nazir Razak $100 million (Bumiputra Commerce Holdings, brother of deputy PM)