Myspace Layouts

Friday, March 19, 2010

Memancing ikan dari balkoni


SUASANA malam yang mendamaikan pasti membuat sesiapa sahaja hanyut bersama emosi asyik bersatu dengan alam semula jadi.


TATKALA kaki melangkah masuk ke perkarangan resort ini, suasana damai datang menjemput apabila melihat pemandangan kehijauan yang begitu indah dan menyegarkan.

Dibina di atas tasik dengan reka bentuk tradisional, Kampung Air dilihat sebagai penginapan paling eksklusif di Bukit Merah Laketown Resort, Taiping, Perak.

Pemandangan alam semula jadi yang terbentang luas menjadikan Kampung Air itu begitu popular di kalangan pengunjung tempatan mahupun dari luar negara yang cintakan suasana sedemikian.

Terletak di dalam kawasan Bukit Merah Laketown Resort, Kampung Air dibina di atas Tasik Bukit Merah yang seluas 2,833 hektar. Bagi penginap unit yang menghadap arah matahari terbit, pagi hari anda akan dihadiahkan dengan sinaran pagi yang memancar indah.


TERDAPAT pelbagai jenis suite yang boleh disesuaikan mengikut cita rasa anda.


Tasik Bukit Merah adalah salah satu keperluan utama masyarakat setempat kerana air dari tasik itu menjadi sumber utama pengairan yang disalurkan ke sawah-sawah padi seluas 24,000 hektar di kawasan berdekatan. Sumber air tasik yang dirawat juga digunakan untuk keperluan harian penduduk sekitar.

Lebih istimewa, di dalam perut tasik itu terdapat pelbagai spesies ikan air tawar pasti membuat kaki pancing teruja menjadi tetamu resort tersebut.

Lengkap dengan ciri-ciri sebuah percutian berkonsep ekopelancongan di sini, ia disumbangkan dengan dendangan kicauan burung dan gemersik angin yang tidak putus bertiup di celah pepohon rimbun dari hutan berdekatan. Sungguh mendamaikan kalbu.

Bilik resort

Kebanyakan bilik penginapan di Kampung Air berkonsepkan klasik moden. Reka bentuk dalaman setiap bilik pula dihiasi dengan ukiran kayu yang cantik serta lampu berbentuk pelita.


BILIK suite eksekutif ini dilengkapi dengan kemudahan plasma yang boleh diputar sama ada menghadap ruang tamu atau bilik tidur.


Setiap bilik mempunyai balkoni yang dilengkapi dengan kerusi santai dan bagi pengunjung yang datang dari kota, inilah suasana damai yang diinginkan jauh dari hiruk pikuk kesibukan kota.

Kampung Air mula dibuka sejak Februari 2001 dengan hanya lima unit suite sahaja. Di atas faktor permintaan yang menggalakkan, 27 unit baru dibina dan dibuka pada Julai 2006.

Kini, Kampung Air mempunyai 31 unit bilik jenis suite. Terdapat empat jenis suite iaitu Suite Studio, Suite Eksekutif, Suite Keluarga dan Suite Seri Andalan Royal. Dengan kadar penginapan antara RM480 hingga RM2,000 mengikut jenis bilik dan musim tempahan, tetamu boleh memilih mengikut kesesuaian bajet.

Setiap suite dilengkapi dengan pendingin hawa, kelengkapan hotel yang mewah serta mempunyai peti keselamatan di dalam bilik. Salah satu unit lama di Kampung Air itu pula telah diubahsuai menjadi spa yang menawarkan perkhidmatan tambahan kepada pengunjung.


MENIKMATI sarapan pagi di balkoni bilik pastinya sangat romantik.


Sebahagian daripada 22 bilik Suite Studio mempunyai keistimewaannya tersendiri. Berkeluasan 409 kaki persegi, setiap bilik dilengkapi dengan tab mandi dengan bukaan tingkap bagi membolehkan pemandangan di luar dihayati sewaktu menyegarkan diri.

Bilik penginapan yang paling eksklusif di Kampung Air ialah Suite Seri Andalan Royal yang mempunyai satu bilik Suite Studio, satu bilik Suite Eksekutif dan satu ruang legar.

Bagi kaki pancing, Kampung Air merupakan satu pilihan penginapan yang tepat bagi mereka. Pengunjung yang menginap di sini boleh memancing dari balkoni bilik dalam suasana yang amat selesa.

Setiap bilik dibekalkan dengan sebatang joran secara percuma dan joran tambahan juga boleh disewa dengan harga yang berpatutan.

No comments:

Post a Comment