
Putrajaya semalam.
WANG tunai RM20,000 untuk habuan juara kategori Lelaki Terbuka pada Kejohanan Rentap Futsal Putrajaya Kosmo! akhirnya menjadi milik pasukan dari Terengganu, Gelombang B.
Pada aksi final di Gelanggang Mokhtar Dahari, Kompleks Futsal Presint 18, Putrajaya semalam, Gelombang B berjaya menewaskan jaguh Melaka, Bertam Ulu FC 3-0.
Shamsul Aswadi Ibrahim meledak gol pertama Gelombang B pada separuh masa pertama sebelum dia menambah gol kedua pada awal babak kedua disusuli gol ketiga menerusi Shafily Jusoh.
Pengurus Gelombang B, Yahaya Mohd. Noor berkata, menewaskan Bertam Ulu menjadi pengalaman yang cukup memuaskan setelah mereka tumbang kepada pasukan itu pada final sebuah kejohanan sebelum ini.
"Kami tiba dari Terengganu pada pagi semalam (Sabtu) dan terus bermain pada tengah hari. Pemain sedikit keletihan.
"Perlawanan pada saingan kalah mati tidak begitu sukar kecuali ketika menentang Cipta FC apabila kami menyamakan kedudukan 3-3 pada minit terakhir sebelum menang sepakan penalti," katanya ketika ditemui selepas perlawanan akhir.
Menurut Yahaya, selain Gelombang B, mereka turut menghantar pasukan kedua, Gelombang A tetapi pasukan itu kandas pada pusingan kedua.
"Gelombang B merupakan pasukan utama kami dengan majoritinya adalah pemain T-Team yang muncul naib juara Liga Futsal Kebangsaan Felda-FAM 2009/ 10," ujarnya.
Sementara itu, pemain Gelombang B, Jamhuri Zainuddin yang merupakan bekas pemain skuad futsal kebangsaan dinobat selaku Pemain Terbaik Kategori Lelaki Terbuka.
"Gelombang B memanggil saya pada saat akhir bagi menggantikan seorang pemain mereka. Alhamdulillah saya telah berjaya membantu mereka muncul juara.
"Jika saya dipanggil semula menyertai skuad futsal kebangsaan, insya-Allah saya akan berusaha untuk melakukan yang terbaik," kata Jamhuri.
Pasukan Gelombang B menerima hadiah mereka daripada Timbalan Menteri Pengajian Tinggi II, Datuk Saifuddin Abdullah.



No comments:
Post a Comment